Rasuah Menghalang Kemajuan di Asia Tenggara


Isu rasuah dalam masyarakat moden smemangnya mendapat perhatian umum apatah lagi dengan bertambahnya jumlah saintis sosial daripada pelbagai latar belakang seperti ahli ekonomi, sosiologi, sains politik dan ahli-ahli perundangan yang berminat terhadapnya.

Tambahan pula, usaha-usaha yang dilakukan oleh penganalisis sosial menyebabkan amalan rasuah telah menjadi kebimbangan berterusan kepada organisasi serantau mahupun antarabangsa.

Menurut Fethi Ben Jomma Ahmed, Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), agensi-agensi dan badan-badan anti-rasuah di peringkat antarabangsa dan tempatan memberi perhatian khusus kepada amalan rasuah.

Penelitian daripada pelbagai perspektif sosiologi dilakukan dengan bersungguh-sungguh oleh penulis dalam usaha mentafsir, menganalisis, memahami dan akhirnya membantu menyekat amalan rasuah.

Tambahan pula terdapat pendekatan Islam daripada sumber al-Quran dan sunah Nabi yang boleh menenggelamkan amalan rasuah yang mana sangat mustahak kepada orang Islam dan pengajian teoritikal pada masa hadapan.

Bagi memudahkan pembaca memahami maksud rasuah, di awal bab penulis memberikan definisi rasuah dari pelbagai sudut iaitu perundangan, birokratik, ekonomi dan sosiopolitik.

Apa yang menarik buku ini menjelaskan bahawa rasuah boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk sogokan, suapan, memeras ugut, nepotisme, kronisme, pilih kasih dan menggelapkan wang.

Manakala terdapat lima faktor berlakunya rasuah iaitu disebabkan oleh sosiobudaya, politik, ekonomi, perundangan dan birokratik.

Bahagian kedua buku ini secara umumnya menekankan isu-isu berkaitan amalan rasuah peringkat atasan di rantau Asia Tenggara, khususnya di Myanmar, Kemboja, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Amalan rasuah merupakan salah satu masalah sosial yang paling serius yang wujud dalam hampir semua masyarakat Asia Tenggara, dahulu hingga kini.

Ia merupakan pengalaman pahit yang memberi kerosakan teruk kepada negara-negara Asia Tenggara khususnya sejak pertengahan abad ke-20.

Menurut Fethi, peningkatan kadar pengangguran, ketidakstabilan politik dan sosial, kekacauan ekonomi dan defisit belanjawan kerajaan, keengganan pelabur asing untuk melabur dan ketidakcekapan birokrasi, telah menyumbang kepada berlakunya rasuah di negara-negara Asia Tenggara itu.

Walaupun melalui pelbagai masalah dan kelemahan dalam membasmi gejala rasuah, namun usaha negara-negara itu telah mencapai keputusan yang luar biasa berbanding beberapa negara Asia lain seperti Pakistan dan India atau negara di Afrika seperti Nigeria dan Uganda.

Rasuah merupakan isu rumit yang menular dalam masyarakat sejak dahulu sehingga masa kini, dan terbukti sebagai fenomena kompleks yang boleh membawa implikasi negatif kepada kehidupan manusia.

Utusan Malaysia
14 Februari 2006
Title: The Dilemma of Corruption in Southeast Asia
Editor/Author: Fethi Ben Jomaa Ahmad