Kesukaran Memerdekakan Negara

BENARKAH British ingin memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 1957? Berdasarkan fakta yang dibongkar oleh penulis buku ini, penjajah itu hanya ingin berundur 25 tahun selepas gerakan menuntut kemerdekaan oleh Parti Perikatan yang bermula pada awal 1950-an.

Pendedahan oleh Profesor Madya Dr. Joseph M. Fernando, Pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya itu menunjukkan, penjajah British hanya berminat memberi kemerdekaan pada 1975 kerana enggan meninggalkan "lubuk emas'' di sini.

Cuba bayangkan jika Tanah Melayu diberi kemerdekaan pada 1975 dan bukan 1957? Bagaimana pula agaknya bentuk kemajuan dan kehidupan rakyat ketika ini?

Petikan minit mesyuarat Persidangan Ketua-ketua Pesuruhjaya ke-15 (15th Commissioner General's Conference) di Bukit Serene pada Jun 1950 dengan jelas menyatakan, hasrat awal British mengenai kemerdekaan Tanah Melayu.

"The Commissioner-General reviewed the development and stated that hitherto they had been working on the assumption that the strict merits of the case, and the best interests of the people of Malaya, required a transition period of generation, say 25 years, before the peoples of Malaya would be ready for complete self-government."

Di peringkat awal, British dikatakan merancang membentuk kerajaan sendiri (self-government) di mana mereka turut terlibat dalam pentadbiran oleh pemimpin tempatan sebelum memberi kemerdekaan mutlak.

Tetapi, atas desakan Perikatan, akhirnya penjajah akur dan mempercepatkan proses kemerdekaan. Langkah awal ialah dengan mempercepatkan pilihan raya Persekutuan pada 1955.

Menurut penulis, desakan kuat dari Perikatan menimbulkan rasa tidak senang British menyebabkan mereka berpihak dan menyokong Parti Negara, iaitu pesaing Perikatan.

Malah mereka sangat berharap agar parti pimpinan Dato' Onn Jaafar itu mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan yang dirancang dan dicorakkan oleh British.

Bagaimanapun, harapan itu tidak menjadi kenyataan kerana Perikatan menang besar iaitu memperoleh 51 daripada 52 kerusi.

Sebelum itu, Perikatan berjaya pada Pilihan Raya Perbandaran Kuala Lumpur pada 1952 dengan memenangi sembilan daripada 12 kerusi.

Perikatan pada awalnya terdiri daripada United Malays National Organisation (UMNO) dan Malayan Chinese Association (MCA) yang bergabung lima minggu sebelum pilihan raya pada Februari 1952. Perikatan diperkuatkan lagi dengan kemasukan Malayan Indian Congress (MIC) pada 1954.

Buku ini dengan jelas menggambarkan bagaimana sekumpulan pemimpin parti yang berlainan etnik dan latar belakang politik membentuk satu platform politik bagi menuntut kemerdekaan.

Dengan menggunakan sumber-sumber primer (bahan pertama) seperti dokumen, laporan, memorandum, surat, kertas kerja dan rekod berkaitan kolonial British dari National Archives of Britain di Kew, London serta Perikatan, penulis berjaya menyusun rentetan proses peralihan kuasa serta menjejaki peranan utama Perikatan.

Krisis Pilihan Raya Persekutuan pada 1953 hingga 1954 menjadi titik tolak ke arah kerajaan sendiri dan kemerdekaan Tanah Melayu secara mutlak.

Dalam perkaitan ini, penulis berjaya mendedahkan beberapa isu pertikaian antara Perikatan dengan British di Tanah Melayu serta surat-surat penting melibatkan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi di Malaya dan penjajah di London.

Apabila pentadbiran British menolak tuntutan berkaitan Pilihan Raya Persekutuan, Perikatan melancarkan demonstrasi dan protes secara aman menyebabkan British akur.

Buku ini mendedahkan bahawa kemerdekaan yang dicapai negara tidak diberi atas "dulang perak" oleh British seperti digambarkan oleh ramai penulis mengenai kemerdekaan negara.

Sebaliknya, ia dicapai hasil kerjasama dan perjuangan sukar Perikatan yang mewakili kaum-kaum utama ketika itu serta sokongan padu Raja-Raja Melayu.

Perikatan turut melibatkan Raja-Raja Melayu untuk menggambarkan rakyat bersamasama raja, bersatu suara dalam menuntut kemerdekaan.

Maka, tidak hairanlah rombongan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman turut disertai wakil Raja-Raja Melayu iaitu Datuk Panglima Bukit Gantang, Datuk Seth Mohd Said, Abdul Aziz Abdul Majid dan Datuk Nik Ahmad Kamil.

Seperkara yang menarik mengenai buku ini ialah banyak fakta yang dirakamkan tidak pernah terdapat dalam mana-mana rekod atau penerbitan rasmi sebelum ini.

Oleh itu, buku ini harus dijadikan koleksi oleh mereka yang mahukan maklumat baru tentang sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air.

Walaupun hanya setebal 155 halaman dan dibahagi kepada lapan bab, namun isu dan bukti di dalam buku ini mampu menyumbang kepada peningkatan pemahaman dan kesedaran tentang kesukaran usaha memerdekakan negara.

Buku ini perlu dibaca terutama oleh generasi pasca merdeka. Ia diharap menimbulkan kesedaran untuk lebih menyayangi negara ini.

Selain itu, buku ini menceritakan peranan Tunku Abdul Rahman bersama rakan-rakannya iaitu Tun Abdul Razak Hussin, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun H.S. Lee, T.H. Tan, Tun Omar Ong Yoke Lin, Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T. Sambanthan.

Turut terkandung ialah mengenai zaman pemerintahan tiga Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu iaitu Sir Henry Gurney (1948-1951), Sir Gerald Templer (1952-1954) dan Sir Donald MacGillivray (1954-1957) iaitu tempoh kritikal dalam menuntut kemerdekaan termasuk ancaman Parti Komunis Malaya.

UTUSAN MALAYSIA, 25 Mei 2009
Oleh: MOHD. YAHYA MOHAMED ARIFFIN
Judul: The Alliance Road to Independence
Pengarang: Joseph M. Fernando
Penerbit: Penerbit Universiti Malaya
Tahun: 2009
ISBN: 978-983-100-480-7